Minat Terhadap Silat Gayung Fatani
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan salah sebuah
universiti awam yang terdapat di Malaysia. Universiti ini dibina daripada
desakan rakyat untuk keperluan pendidikan tinggi orang-orang Melayu ketika itu.
Ianya telah dibangkitkan pada 1903 dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja. Pada tahun
1917, Za'ba, seorang cendekiawan membangkitkannya dalam akhbar Lembaga Melayu.
Ini diikuti pada tahun 1923, seorang tokoh pendidik A. Kadir Adabi,
mengemukakan memorandum gagasan tersebut kepada DYMM Sultan Kelantan. Selepas
merdeka, masalah perlanjutan pelajaran bagi pelajar sekolah menengah aliran
Melayu dan sekolah agama Islam menyemarakkan lagi idea ini. Pada 1963 Seminar
Bahasa dan Sastera telah diadakan. Hasil seminar ini mahukan universiti yang
‘benar-benar bercorak kebangsaan’. Dalam perbincangan tersebut juga ada
disentuh mengenai penubuhan universiti Islam. Hasilnya, sebuah universiti yang
berteraskan kebangsaan dan Islam telah ditubuhkan secara rasmi pada tanggal 18
Mei 1970 dan kampus sementaranya dibuka di Lembah Pantai, Kuala Lumpur sebelum
dipindahkan ke Bandar Baru Bangi, Selangor.
Selepas mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di UKM, saya amat
berbangga dan gembira apabila mendapat pengkhabaran tersebut. Dengan 5 asas
penubuhan UKM iaitu pendaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan
bahasa ilmu, memperkukuhkan sistem pelajaran kebangsaan, menampung lulusan
sekolah menengah aliran Melayu, melahirkan warganegara yang setia kepada
negara, dan mengeluarkan siswazah yang sihat, berpandangan serta berfikiran
luas, saya dapat menyimpulkan bahawa penubuhan UKM adalah demi memartabatkan
nilai kebangsaan dan jati diri negara kita serta menaikkan nama negara di
peringkat antarabangsa. Hal ini menyemarakkan lagi semangat saya untuk belajar
di universiti ‘kebangsaan’ ini.
Struktur pembelajaran UKM
bagi pelajar prasiswazah terbahagi kepada dua bahagian iaitu subjek teras dan
juga subjek tambahan yang dikenali sebagai subjek citra. Subjek citra merupakan
subjek liberal yang mencerminkan peribadi pelajar dan terbahagi kepada kepada 6
bahagian iaitu etika kewarganegaraan dan ketamadunan, bahasa komunikasi dan
literasi, kepimpinan keusahawanan inovasi dan sebagainya.
Pemilihan subjek citra Seni Silat Gayung Fatani 1 pada semester ini
adalah kerana semangat jati diri dan kebangsaan saya kepada negara. Bersepadan
dengan tujuan penubuhan UKM yang berteraskan nilai kebangsaan dan Islam, saya
melihat kursus subjek citra Seni Silat Gayung Fatani ini mempunyai perkaitan
yang besar antara kedua-duanya.
Selain daripada semangat jati diri dan kebangsaan yang membara
didalam jiwa, pemilihan saya kepada kursus subjek Seni Silat Gayung Fatani 1 ini
adalah minat yang mendalam itu sendiri kepada silat tersebut. Sebelum mengambil
kursus citra ini, saya juga pernah mempelajari silat olahraga di sekolah
menengah sebelum ini. Minat yang mendalam kepada silat itu timbul apabila saya
menyertai kejohanan silat olahraga peringkat MSSD daerah Kuala Selangor suatu
ketika dahulu. Walaupun kalah seawal pusingan pertama, keseronokan dari segi
gerak dan suasana kelincahan bermain silat itu timbul. Semangat untuk
meneruskan pengajian silat wujud dalam diri ketika itu yang sebelumnya hanya
menyertai silat sebagai aktiviti memenuhi masa terluang sahaja.
Walaubagaimanapun, niat untuk menyambung pengajian silat itu terbantut apabila saya
berpindah ke sekolah yang lain dimana sekolah tersebut tidak menawarkan kursus
subjek silat. Namun saya bernasib baik apabila dapat melanjutkan pengajian ke
UKM, sebuah universiti yang menawarkan subjek silat.
Sebagai pengenalan, silat atau pencak silat adalah suatu seni bela
diri tradisional asli dari kepulauan Melayu yang terdiri daripada Malaysia,
Indonesia, Brunei, Singapura, selatan Filipina, dan selatan Thailand, sesuai
dengan penyebaran berbagai suku bangsa Nusantara iaitu bangsa Melayu. Ada yang
menganggarkan seni ini telah berusia beratus-ratus tahun dan diperturunkan
daripada generasi ke generasi. Silat juga dikenali luas di serata pelusuk
Dunia. Mereka yang belajar silat digelar pesilat. Kini negara-negara asia
tenggara sudah memiliki aliran atau perguruan tersendiri. Dalam amalan sekarang, pengajar atau guru silat digelar jurulatih
dan seseorang yang mewarisi aliran sesuatu perguruan digelar Guru Utama aliran
itu. Kebanyakan guru silat kini menolak gelaran Mahaguru kerana bagi mereka
gelaran 'maha' hanya sesuai untuk tuhan yang Maha Esa dan ini menepati
perawakan guru silat yang kebiasaannya gemar menyembunyikan kemahiran mereka
dan amat merendah diri selaras dengan ajaran Islam yang menitik beratkan akhlak
tawaduk. Pesilat senior yang telah lama berkecimpung dalam dunia silat sebagai
pengajar berkemahiran tinggi dan ada antaranya mewarisi beberapa aliran yang
telah hilang digelar sebagai Guru Tua dan amat dihormati. Pesilat yang
mempunyai tahap silat yang tinggi digelar pendekar.
Timbul salah faham di kalangan orang ramai bahawa silat seni seperti
silat pulut biasanya dipersembahkan pada majlis rasmi dan majlis keramaian
seperti majlis perkahwinan manakala silat daripada jenis buah pukul atau seni
tempur pula lebih banyak disorokkan daripada pandangan ramai atas dasar-dasar
memelihara seni, muslihat permainan dan beberapa alasan yang lain. Hakikatnya
'silat pulut' bukanlah satu aliran silat berlainan yang hanya menumpukan
persembahan dan tidak boleh mempertahankan diri. Ia hanyalah terma atau gelaran
yang digunakan apabila pesilat merancang acara persembahan mereka di majlis
keramaian. Ini termasuklah tari sembah dan pertempuran yang diatur. Sudah tentu
rahsia dan muslihat permainan aliran tidak dipertontonkan. Kebiasaannya
sekumpulan pesilat menubuhkan kumpulan 'silat pulut' ini untuk membincangkan
dan berlatih untuk persembahan-persembahan di majlis keramaian di kejiranan
mereka. Inilah asalnya wujud 'aliran' atau 'sekolah silat pulut'. Nama silat
pulut ini dikatakan berasal daripada 'pulut pengantin'.
Silat sehingga kini sudah banyak yang dipecahkan alirannya, seperti
mana pecahnya silat Gayung seperti Gayung Fatani, Gayung Laksamana, Gayung Laksamana
Pahang dan lain-lain lagi. Di Malaysia sahaja terdapat hampir 500 Perguruan
Silat yang telah dapat dikesan antaranya ialah Gayung Fatani, Silat Cekak,
Silat Cindai, Silat Harimau, dan bermacam jenis silat lagi.
Seni Gayung Fatani atau Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia
(PSGFM) merupakan aliran Silat Melayu yakni silat tempatan atau Seni Silat
Melayu Tradisi Semenanjung dari yang serumpun dan sebenih dengannya, seperti
yang diamalkan oleh masyarakat Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dan daerah
Nusantara yang sepadan dengannya, dikenali sebagai Silat Pulut atau Gayung
Pulut. PSGFM telah berjaya meningkatkan mutu pendidikan silat tradisi
gelanggang bangsal kepada kurikulum silat yang telus dan setara serta
mengekalkan keaslian Silat Melayu versi Malaysia. Silat ini telah didaftarkan
dengan nam Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia. Perkhidmatan pendidikan
silat PSGFM telah melalui evolusi iaitu bermula dengan kurikulum silat tradisi
gelanggang bangsal, pada 1986 Kurikulum Baru PSGFM dan pada 2002 diperkenalkan
Kurikulum Seni Silat Malaysia yang diasaskan dan disusun oleh Tn.Hj. Anuar Abd.
Wahab AMN. Kurikulum silat ini telah disusun semula dan diperturunkan kepada
PSGFM, dinamakan kurikulum silat PSGFM moden piawai 2002.
Antara sebab kursus Seni Silat Gayung Fatani ini menjadi pilihan
saya berbanding silat lain adalah kerana silat dan persatuan ini telah banyak
melahirkan pesilat negara untuk kejuaraan-kejuaraan antarabangsa seperti Sukan
SEA, terbuka antarabangsa dan Kejohanan Silat Dunia. Pertubuhan silat ini juga
pernah menjadi Juara Keseluruhan Kejuaraan Silat Kebangsaan iaitu pada tahun
1991 di Melaka, 1992 di Kedah, 1994 di Pulau Pinang dan 1995 di Kuala
Terengganu. Selain itu, kurikulum baru Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia
telah dijadikan dasar untuk mewujudkan kurikulum silat. Pada April 2002, majlis
Kementrian, Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia bersama Kementrian Pendidikan
Malaysia telah menjemput Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) untuk
mengadakan satu mesyuarat mengenai program ini. Oleh itu, Tuan Haji Anuar,
penyusun kurikulum seni silat Malaysia, telah menerima tugas itu dan
dipertanggungjawabkan untuk mengasas, menyusun dan seterusnya mengembangkannya
ke seluruh negara. Di dalam mesyuarat tersebut, ahli majlis bersetuju menerima
kurikulum baru Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia dijadikan dasar untuk
mewujudkan kurikulum silat. Silat Gayung Fatani bukan sahaja silat yang
bersandarkan kepada pertahanan diri sahaja, tetapi kombinasi antara beladiri,
seni, muzik silat dan kerohanian silat yang berdasarkan seni budaya Melayu
bersendikan syarak. Perkara ini dapat dibuktikan lagi apabila silat ini telah menjadi
juara dalam kategori persembahan berkumpulan dalam International Martial Arts
Games (IMGC) pada 15-20 September 2004 di Pyongyang, Korea Utara anjuran
International Taekwando Federation (ITF) yang disertai oleh 12 seni
mempertahankan diri teraik dunia dari 40 buah negara dan menjadi juara dalam
kategori persembahan berkumpulan dalam (IMGC) pada 13-15 Mei 2005 di Perugia
Itali, Anjuran World Kung Fu Wushu Championship yang disertai oleh ahli dan
negara IMGC. Seni Silat Gayung Fatani ini bukan sahaja dikenali dan dipelajari
di Nusantara, malah PSSGM telah mengembangkan sayapnya di peringkat
antarabangsa, seperti di Austria, Amerika Syarikat, New Caledonia, Perancis,
Switzerland, Norway, Jerman, Romania dan Greece.
Disamping itu, kursus Seni Silat Gayung Fatani juga menerapkan dan
menitik beratkan nilat disiplin kepada para penuntutnya. Sebagai mahasiswa,
nilai disiplin adalah sangat penting untuk menuju sesuatu kejayaan itu. Oleh
yang demikian, saya memilih kursus ini kerana kursus ini dapat melatih diri
untuk bersikap disiplin bukan sahaja ketika latihan, tetapi juga di dunia luar
yang lebih mencabar dan penuh dengan dugaan. Nilai disiplin yang dapat dilihat
dari kursus ini adalah ketika mana para penuntutnya mestilah berada di kawasan
latihan sekurang-kurangnya 15 minit lebih awal. Selain itu, setiap kali sebelum
latihan bermula, penuntut hendaklah melakukan aktiviti pembukaan yang terdiri
daripada berdiri tegak, qiam, selawat dan doa. Setiap pergerakan yang terdapat
dalam kurikulum kursus ini juga sangat mementingkan disiplin diri untuk mahir
setiap satunya.
Seni silat secara amnya dilihat semakin terancam dan dipinggirkan
oleh masyarakat. Kewujudan dan kemodenan dunia kini yang lebih berkonsepkan
digital telah meninggalkan nilai-nilai tradisi sesuatu masyarakat itu
dibelakang. Masalah ini perlulah dibendung dengan sebaiknya bagi mengekalkan
identiti kebangsaan dan Islam rakyat Malaysia. Dengan wujudnya Kursus Seni
Silat Gayung Fatani 1, saya yakin silat ini tidak akan pupus ditelan zaman
walaupun bercanggah dengan dunia digital harini sekiranya kursus ini diteruskan
lagi dan diberikan pendedahan kepada para pelajar tidak kira pelajar tempatan
mahupun antarabangsa. Masalah perbezaan dua entiti iaitu tradisional dan moden
digital sebenarnya bukanlah masalah yang bercanggah secara total. Sebagai
masyarakat yang berinovasi dan sentiasa berfikiran kehadapan, dua entiti ini
boleh disatukan. Sebagai contoh, dengan adanya aplikasi seperti permainan
video, pendidikan dan sebagainya di gadjet atau peranti pintar, saya percaya,
masyarakat muda dan belia secara khususnya akan memandang semula kepada seni
silat ini seterusnya menaikkan kembali kegemilangan sejarah silat seperti suatu
ketika dahulu.
Comments
Post a Comment